KLANG – Walaupun bukan orang senang, seorang wanita setia menjaga ibu mentuanya yang terlantar selepas diserang strok atau angin ahmar sejak lima tahun lalu di Apartment Taman Klang Jaya di sini.
Zarina Beevi Mohd. Kamaruldin, 43, berkata, dia melakukan semua itu bagi membolehkan ibu mentuanya, Mariam Zakaria, 82, mendapat penjagaan sewajarnya tanpa rasa terbeban selepas bapa mentuanya meninggal dunia 10 tahun lalu.
Katanya, dia cuba melakukan yang terbaik biarpun menyedari pendapatan suaminya sebagai pemadu lori hanya RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
“Sudah lima tahun ibu mertua terlantar akibat angin ahmar setelah menderita sakit kencing manis dan darah tinggi sebelum ini.
“Memang dia memerlukan jagaan rapi termasuk makan dan minum selain pemberian insulin mengikut waktu ditetapkan,” katanya baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, perbelanjaan bulanan keluarganya adalah lebih RM1,500 termasuk lampin pakai buang mentuanya dan pengangkutan ke hospital serta keperluan dua anaknya yang masih bersekolah.
Katanya, itu tidak termasuk bayaran sewa rumah sebanyak RM630.
Setakat ini katanya, dia menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), namun peningkatan kos sara hidup membuatkan dia dan keluarga perlu berjimat.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Pritahun 99 Kesan diketuai penaungnya, Azmi Yahya dan pengerusinya, Muhd.Ali Zakariah yang menyampaikan lampin pakai buang dan sedikit bantuan kewangan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 1262 0011384-52-4 atas nama Zarina Beevi Mohd. Kamaruldin.