UCL: Man. City perlu khidmat dua pakar

MANCHESTER CITY 3

STONES (kanan) dan Dias menjadi harapan penting buat Guardiola untuk diturunkan sebagai pemain pertahanan tengah bagi mengekang Real. – AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola benar-benar berharap dua pemain pertahanan mampu diturunkan menjelang aksi getir playoff Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Etihad awal pagi esok.

Guardiola mengharapkan dua pemain berkenaan, John Stones dan Ruben Dias melupakan seketika isu kecederaan yang dialami untuk membantu pasukan menghadapi cabaran gergasi La Liga tersebut.

Kedua-dua pemain pertahanan itu turun beraksi untuk tempoh 45 minit ketika City berjaya menewaskan Leyton Orient untuk mara ke pusingan kelima Piala FA, namun malangnya pemain pertahanan yang baru dibeli, Nico Gonzalez mengalami kecederaan pada aksi itu.

“Dua tahun lalu ketika kami berjaya merangkul gelaran trebel, kedua-dua mereka adalah tonggak penting yang membantu pasukan dalam banyak cara.

“Stone sejak tiga bulan lalu tidak pernah beraksi untuk tempoh 90 minit dan pada dua aksi terakhir dia bermain tanpa rasa sakit. Ia memberikan sedikit harapan dan perkhabaran gembira buat kami.

“Ruben pula sudah kembali, bermain untuk tempoh 45 minit. Kami akan lihat berapa ramai lagi pemain yang mampu pulih untuk aksi selepas ini,” kata Guardiola.

Mengulas isu kecederaan Gonzalez, Guardiola memberitahu bahawa pemain itu hanya sempat beraksi selama 22 minit ketika menentang Orient sebelum terlibat dalam insiden pelanggaran dan berharap pemain itu sempat pulih selepas menerima tendangan keras daripada pemain lawan.

Berdasarkan kesebelasan utama ketika menentang Orient, Guardiola dilihat sudah membuat perancangan rapi untuk berdepan Real apabila tidak menyenaraikan Erling Haaland, Josko Gvardiol dan Mateo Kovacic untuk memberikan rehat yang cukup.

Sementara itu, beberapa lagi pemain, Bernardo Silva, Kevin De Bruyne, Phil Foden hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, manakala Manuel Akanji hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang perlawanan itu berlangsung. – AGENSI