LONDON – Penari tarian ‘breakdance’ dari Australia, Raygun menerima kecaman pengguna media sosial selepas persembahan ‘peliknya’ semasa Sukan Olimpik Paris disamakan dengan kanak-kanak yang sedang mengamuk, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Raygun atau nama sebenarnya Rachael Gunn, menjadi tular selepas tariannya gagal mendapat sebarang mata daripada juri ketika berdepan penari dari Perancis, Syssy (Sya Dembele) dan Logistx Amerika (Logan Edra).
Tarian ‘breakdance’ yang dilakukannya dipersenda oleh netizen kerana ia dikatakan kelihatan seperti kanak-kanak kecil yang berguling-guling di atas lantai.
“Dia amat hebat. Dia dapat melawat (Perancis) yang dibiayai ke Olimpik dan pakaian sukan untuk 5 minit seni persembahan yang pelik,” tulis seorang netizen.
Peminat lain menulis: “Anak saya (seperti aksi Gunn) selepas satu minit dia naik ke atas katil untuk tidur.”
Walaupun mendapat respons negatif, Gunn berkongsi mesej positif di laman Instagramnya selepas dia tersingkir daripada pertandingan itu.
“Jangan takut untuk menjadi berbeza, pergi ke sana dan mewakili diri anda. Anda tidak tahu ke mana ia akan membawa anda,” tulisnya.
Gunn menyertai temasya itu sebagai penari ‘breakdance’ teratas Australia selepas memenangi Kejohanan Breaking Oceania pada tahun lepas.
Dia bertugas sebagai penyelidik seni kreatif di Universiti Macquarie, Sydney dan mempunyai pengkhususan dalam politik budaya tarian ‘breakdance’. – AGENSI