PETALING JAYA – Semua pengusaha dan pengendali makanan tapak pesta atau ekspo makanan wajib mematuhi peraturan kebersihan serta keselamatan makanan seperti yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), pematuhan ini melibatkan semua pengendali makanan, sama ada warganegara atau bukan warganegara.
“Semua pengendali makanan wajib menghadiri Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM dan mendapatkan vaksinasi anti tifoid.
“Penganjur, pemilik atau penyewa gerai-gerai jualan makanan dan minuman tapak pesta atau ekspo makanan turut bertanggungjawab untuk memastikan setiap pengendali makanan telah mematuhi keperluan perundangan ini.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah KKM, aspek kebersihan makanan yang perlu dipatuhi termasuk kebersihan diri pengendali, penggunaan peralatan yang sesuai, serta penyimpanan dan penyediaan makanan yang tidak terdedah kepada pencemaran.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan, termasuk penutupan premis tidak melebihi 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 serta pengeluaran notis kompaun,” ujarnya.
KKM berkata, pihaknya dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus menjalankan pemantauan di tapak pesta dan ekspo bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ini.
Pengguna yang mempunyai aduan mengenai keselamatan makanan boleh melayari laman web http:/ moh.spab.gov.my atau Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di https://www.facebook.com/bkkmhq. – https://amiminerals.org/