Sarawak Berhasrat Bangunkan Model AI Sendiri – Abang Johari

KUCHING, 8 Feb(Iteenews) — Premier SarawakTan Sri Abang Johari Tun Openg berhasrat untuk membangunkan Model Bahasa untuk Aplikasi Dialog (LaMDA) bagi negeri itu yang dapat menggabungkan pelbagai data tempatan untuk dikongsi secara global.

Mencadangkan model kecerdasan buatan (AI) itu sebagai DeepSar, Abang Johari berkata beliau mendapat inspirasi daripada kejayaan seorang jurutera dari China,Liang Wenfeng yang mengasaskan DeepSeek, model AI yang mampu menyaingimodel yang dibangunkan di Amerika Syarikat.

“Saya berharap (satu hari nanti) kita akan mempunyai DeepSar yang dibangunkan oleh rakyat Sarawak, dengan kandungan unik mengenai Sarawak dan memudahkan perbualan digital antara rakyat Sarawak dengan dunia,” katanya.

Bercakap pada majlis makan malam sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini pada Jumaat, beliau berkata kerajaan Sarawak kini menggalakkan pembangunanreka bentuk mikrocip – komponen utama dalam pemindahan data.

“Data hanya boleh dihantar melalui cip, cip ibaratdarah dalam badan kita dan ia memacu anda,” katanya.

Abang Johari berkata platform AI yang dibangunkan sendiri juga akan membantu mempromosikan biodiversiti Sarawak, justeru beliau menugaskan syarikat penyedia penyelesaian sistem ICT milik kerajaan, SAINS Sdn Bhd, untuk mengumpulkan data berkaitan.

Beliau berkata sebagai hab dunia bagi hutan hujan dan biodiversiti, Sarawak dapat berkongsi maklumat pada peringkat antarabangsa dan langkah ini dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk negeri berkenaan.

“Kita boleh berkongsi pandangan dengan dunia mengenai ekonomi sumber biodiversiti. Apabila maklumat ini dimuat turun, ia bukan percuma. Lapan bilion orang bolehmengakses maklumat itu dan kita juga perlu mendapatkanpaten dan hak terhadap sumber biodiversiti kita,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari yang juga Pengerusi SMA menzahirkan penghargaan kepada Pengurus Besar SMADatuk Anderson Tiong Ing Heng dan pasukannya kerana bekerjasama dengan agensi lain untuk mempertingkatkan infrastruktur telekomunikasi dan rangkaian Sarawak.