Scomi Energy Dinyahsenarai Pada 12 Feb Setelah Bursa Tolak Rayuan Lanjutan Masa

3d8b89ec8d31ef0d1ab11cf00f907c3b62a9d39b66ae1

KUALA LUMPUR, 6 Feb(Iteenews)–Bursa Securities Bhd telah menolak permohonan Scomi Energy Services Bhd untuk lanjutan masa bagi penyerahan pelan penyusunan semulanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Scomi Energyyang diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Januari 2020, akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities pada 12 Feb, 2025.

Sekuriti syarikat, yang kini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd mungkin kekal disimpan dengan Bursa Depository walaupun dinyahsenarai.

Ia bukanlah mandatori bagi sekuriti syarikat yang telah dinyahsenarai dikeluarkan daripada Bursa Depository, kata makluman itu.

Sebagai alternatif, pemegang saham yang berhasrat untuk memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal boleh mengeluarkan sekuriti itu daripada akaun sistem depositori pusat (CDS) mereka yang dikekalkan dengan Bursa Depository pada bila-bila masa selepas penyahsenaraian.

Ini boleh dilaksanakan oleh pemegang saham yang mengemukakan borang permohonan untuk pengeluaran di bawah prosedur yang ditetapkan oleh Bursa Depository.

— BERNAMA