KOTA TINGGI – Kemalangan maut melibatkan sebuah treler dan trak pikap di Kilometer 30, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pagi tadi berpunca ekoran masalah lampu isyarat yang tidak berfungsi.
Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan pada pukul 9.50 pagi itu berlaku di kawasan lampu isyarat Taman Sri Saujana.
“Siasatan mendapati nahas berlaku apabila treler yang dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menghala ke arah Johor Bahru, manakala trak pikap Toyota Hilux dalam perjalanan dari Taman Sri Saujana menghala ke Kota Tinggi.
“Apabila treler sampai di lokasi, lampu isyarat tidak berfungsi. Treler tersebut tidak sempat mengelak Toyota Hilux yang keluar dari simpang Taman Sri Saujana.
“Kenderaan berat itu melanggar bahagian kanan Toyota Hilux menyebabkan trak pikap itu terbabas melanggar tiang lampu,”katanya dalam kenyataan.
Ekoran kemalangan tersebut, pemandu Toyota Hilux, Jelambai anak Rirong, 51, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.
Terdapat empat penumpang iaitu wanita berusia 45 tahun, remaja lelaki berusia 13 tahun, kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun dalam trak pikap tersebut. Mereka dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan. – https://amiminerals.org/