KUALA LUMPUR, 4 Feb (Iteenews) — Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan perniagaan penting untuk mewujudkan ekosistem yang menyokong keterangkuman kewangan, kata penganalisis.
Penganalisis Kanan Unit Sokongan Dasar Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Glacer Nino A Vasquez dan penyelidik Emmanuel A San Andres berkata pengumpulan sumber, berkongsi pengetahuan dan berusaha ke arah matlamat bersama memastikan tiada siapa yang ketinggalan dari segi keterangkuman kewangan.
Mereka berkata keterangkuman kewangan bukan sekadar memberi orang ramai akses kepada perkhidmatan kewangan, ia bagi menjadikan perkhidmatan tersebut berfungsi untuk semua orang.
“Apabila kita memberi tumpuan kepada kedua-dua akses dan pengedaran, ia akan membuka potensi penuh keterangkuman kewangan.
“Ia mengenai mewujudkan sistem kewangan inklusif dan adil, melibatkan semua orang tanpa mengambil kira di mana mereka tinggal atau jumlah pendapatan mereka…semua berpeluang untuk berjaya," kata mereka dalam satu kenyataan.
Mereka berkata produk kewangan mesti disesuaikan untuk memenuhi pelbagai keperluan kumpulan yang berbeza.
"Sama ada ia menyediakan pinjaman mikro untuk perniagaan kecil, mewujudkan akaun simpanan untuk wanita atau menambah baik akses untuk penduduk di kawasan luar bandar, produk tersebut perlu direka bentuk dengan mengambil kira komuniti," katanya.
Mereka berdua menegaskan bahawa keterangkuman kewangan berfungsi untuk semua orang, ekonomi APEC mesti membina celik kewangan dan kemahiran digital.
“Orang ramai tidak boleh menggunakan perkhidmatan kewangan dengan berkesan jika mereka tidak memahami cara ia beroperasi, justeru penting untuk memasukkan pendidikan kewangan bersama peralatan digital.