Teknologi Perlindungan Perisian Hasad Baharu Bank Lindungi Daripada Penipuan Kewangan

cda2c87b2d1f8c5397822409f8e95b0166b5f6bbb6dc7

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Iteenews) — Bank-bank di Malaysia mula menerapkan teknologi perlindungan daripada perisian hasad ke dalam aplikasi perbankan mudah alih masing-masing sebagai sebahagian usaha bersepadu untuk melindungi pelanggan daripada penipuan kewangan.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) serta Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menjelaskan langkah keselamatan pencegahan oleh kalangan ahli itu boleh mengesan perisian hasad berisiko tinggi dalam situasi seperti fail APK berniat jahat.

Akses pemantauan jarak jauh yang mencurigakan ke atas peranti pelanggan juga boleh dikesan, menurut ABM dan AIBIM menerusi kenyataan bersama pada Jumaat.

Kedua-dua pihak juga menambah, teknologi itu dapat membantu mengesan aplikasi berniat jahat atau fungsi yang mencurigakan dengan bertindak sebagai pengawal digital yang berhati-hati, yang akhirnya memberi amaran atau menghentikan pelanggan daripada melakukan aktiviti perbankan pada peranti yang terjejas.

Inisiatif itu dibangunkan berdasarkan langkah awal dari Julai 2023, termasuk menggantikan OTP SMS dengan kaedah yang lebih selamat dan mewujudkan saluran aduan khusus, tambah ABM dan AIBIM.

Sementara itu, Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli berkata inisiatif itu menunjukkan satu langkah penting dalam usaha kerjasama mereka.

“Kami mengutamakan privasi pelanggan, oleh itu perlindungan daripada perisian hasad hanya diaktifkan apabila pelanggan menggunakan aplikasi perbankan mudah alih dan tidak berfungsi secara berterusan.

“Kami mahu memberi jaminan kepada pelangganbahawa maklumat perbankan dan data peribadi mereka kekal sulit dan dilindungi,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *