PETALING JAYA – Peserta dari Cheras, Kuala Lumpur, Md. Darapi Awang, 55, berjaya membawa pulang RM5,000 selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Cabaran Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur semalam.
Lelaki itu berjaya menaikkan keli seberat 12.180 kilogram (kg) menggunakan umpan cacing pada cabaran yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000.
Menurut Md. Darapi, dia mengambil masa lebih enam sebelum dapat menjinakkan ikan tersebut.
Katanya, tuah menyebelahinya kali ini selepas dua tahun mengambil bahagian dalam pertandingan memancing.
“Saya tidak sangka akan menang, sedangkan kehadiran hanya sekadar suka-suka untuk sertai pertandingan ini. Alhamdulillah,”katanya.
Hadiah pemenang disampaikan Ketua Unit Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Eswan Ishak.
Pertandingan anjuran DBKL dengan kerjasama JoranKL merupakan salah satu acara yang disediakan kepada warga kota sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’ menyaksikan lebih 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan peserta.
Tempat kedua dimenangi Muhammad Nor Iman Mohd Adnan, 20, dari Kajang, Selangor apabila menaikkan keli seberat 11.865kg melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, manakala tempat ketiga milik Muhd Musrikin Aknan, 28, dari Klang juga menaikkan keli seberat 11.862 kg menerima RM1,000.
Sementara itu, Cabaran Joran Kuala Lumpur disertai lebih 600 kaki pancing dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Pahang.
Perasmian pertandingan ini disempurnakan oleh Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif. – https://amiminerals.org/