Mayat lelaki reput ditemui dalam rumah berkunci

polis

Gambar hiasan.

SANDAKAN – Perasaan curiga seorang jiran mengenai bau busuk yang dihidu dari sebuah rumah berhampiran membawa kepada penemuan mayat lelaki yang tinggal bersendirian, pagi tadi.

Dalam kejadian di Sri Taman Batu 3.5 itu, jiran mangsa seterusnya memaklumkan penemuan tersebut kepada kakak dan adik mangsa sebelum pihak keluarga membuat laporan polis kira-kira pukul 11.30 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K. Reamasamy berkata, pihaknya tiba di lokasi sejurus menerima laporan dan mendapati ada bau busuk dari dalam rumah terbabit.

“Pasukan bomba dipanggil untuk membantu membuka pintu besi rumah yang terkunci. Anggota polis menemui mayat lelaki di sebuah bilik dalam keadaan terbaring dan sudah mula mereput,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan awal polis mendapati mangsa lelaki tempatan berusia 47 tahun tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak 2019.

“Setakat ini pihak kami mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan khianat. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent untuk bedah siasat,”ujarnya. – https://amiminerals.org/