Perkukuh pekebun Kecil, Pokok Hasil Tinggi Penting Bagi Pertumbuhan Industri Getah – Pakar

8478ada81e7b70af7d87fa76e3a39eb060237ed1e0780

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Iteenews) — Pendekatan menyeluruh dan sistematik bagi menyusun semula pekebun kecil getah menjadi satu gabungan serta penanaman semula varieti pokok getah berhasil lebih tinggi akan menjadi aspek penting untuk Malaysia meraih semula kedudukan sebagai pengeluar getah utama dunia.

Pakar industri getah Denis Low berkata kerajaan menerusi Lembaga Getah Malaysia juga perlu membangunkan klon dan anak pokok lebih baik untuk diberikan kepada pekebun kecil getah dan kemudiannya kepada pemain baharu bagi tujuan rejuvenasi.

Menurutnya Malaysia secara semula jadinya adalah negara sesuai untuk perladangan getah, yang menyebabkan pokoknya tumbuh dengan baik di negara ini.

“Penambahbaikan ini perlu lahir daripada klon yang lebih baik untuk mengeluarkan pokok dengan hasil yang lebih memuaskan.

“Teknik penanaman, pembajaan, torehan dan pemprosesan yang sistematik perlu terus dibangunkan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pengetahuan getah yang sebenar,” katanya kepada Iteenews.

Low turut mencadangkan supaya kerajaan melahirkan peladang baharu yang terdiri daripada penduduk kampung dan isi rumah di sepanjang laluan kawasan luar bandar atau separa luar bandar bagi memudahkan pengumpulan hasil mereka pada masa akan datang.

"Bagi petani, mereka perlu dilatih dengan teknik penuaian yang lebih baik dan diberikan sokongan dari segi proses pembajaan yang teratur serta baja pada kadar borong yang menjimatkan berserta teknik," katanya.

Menurutnya pemain industri pula perlu diberikan insentif semula untuk meningkatkan pengeluaran berat tan yang diperlukan bagi mengekalkan ekosistem industri getah.