KOTA KINABALU – Penutupan 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kota Marudu pagi ini memperlihatkan pengurangan ketara statistik mangsa banjir di Sabah.
Seramai 2,272 orang mangsa banjir daripada 725 keluarga kini masih ditempatkan di 23 PPS melibatkan lapan daerah seluruh negeri setakat pukul 9 pagi tadi.
Semua daerah yang masih dilanda banjir adalah Pitas, Lahad Datu, Telupid, Paitan, Kota Belud, Beaufort, Beluran dan Tongod.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataannya menyatakan daerah Pitas ketika ini merekodkan mangsa banjir seramai 806 orang membabitkan 298 keluarga yang berada di lima PPS.
“Lahad Datu mencatatkan 514 orang mangsa membabitkan 136 keluarga di dua PPS. Telupid pula terdapat 288 mangsa daripada 75 keluarga yang semua mangsa berada di empat PPS,”katanya.
Sementara itu, daerah-daerah lain terjejas banjir ialah Paitan (238 mangsa, 85 keluarga, enam PPS), Kota Belud (207 mangsa, 67 keluarga, tiga PPS), Beaufort (108 mangsa, 31 keluarga, satu PPS), Beluran (57 mangsa, 20 keluarga, satu PPS) dan Tongod (54 mangsa, 13 keluarga, satu PPS). – https://amiminerals.org/