EPL: Newcastle mahu kekal momentum

NEWCASTLE

NEWCASTLE memerlukan kemenangan ke atas Fulham untuk terus mengintai tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik. – AFP

LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe menyeru agar barisan pemain kekal fokus untuk meraih kemenangan pada perlawanan menentang Fulham pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park, malam ini.

Menurut Howe, kekalahan kepada Bournemouth awal bulan lalu telah mengejutkan pasukan untuk kembali berada di landasan sebenar dan berjaya melakar kemenangan besar ke atas Southampton minggu lepas.

“Saya sangat gembira apabila kita dapat kembali berada di landasan kemenangan bertemu Southampton. Ini adalah keputusan yang penting untuk menaikkan moral pasukan selepas tewas kepada Bournemouth.

“Misi sekarang adalah saya mahu pasukan menggandakan usaha untuk memburu kelayakan ke saingan Eropah dengan meraih tiga mata penuh ketika bertemu Fulham minggu ini,” katanya.

Sementara itu, skuad The Cottagers yang berada di kedudukan ke-10 liga mengakui pening kepala apabila beberapa pemain penting tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan.

Pengendali Fulham, Marco Silva mengesahkan pasukannya sedikit tempang apabila kehilangan khidmat Harry Wilson yang mengalami kecederaan serius pada minggu lalu selain Kenny Tete.

“Kami menerima berita yang kurang baik apabila Wilson mengalami kecederaan serius dan perlu dibedah. Berdasarkan laporan awal, Wilson akan berehat hampir tiga bulan,” katanya. – AGENSI