Malaysia gerakkan usaha bina semula Gaza – Anwar

WhatsApp Image 2025 01 23 at 17.16.57

Anwar

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pengumuman gencatan senjata di Gaza harus disusuli dengan perancangan pemulihan wilayah itu.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.

“Usaha ini akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat kita,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, serangan kejam rejim Zionis telah meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal,

Anwar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“(Ini) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.

“Moga kewujudan dana khas ini akan mencapai misi dan matlamat yang kita rancang,” ujarnya.

Ujarnya, Malaysia terus menitipkan doa dan harapan agar Allah SWT terus memberi perlindungan buat Gaza dan Palestin.

“Serta memberkati setiap usaha dan pengorbanan kita dalam memberikan harapan baharu buat mereka, Insya-Allah,” katanya. – https://amiminerals.org/