Jalan baharu Jambatan Bertam di Nenggiri siap Mac tahun depan

jambatan

Ahmad (kanan) meninjau projek pembinaan jalan Jambatan Bertam di Kampung Bertam Lama, Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Jalan baharu sejauh 700 meter yang menghubungkan Jambatan Bertam ke Jalan D235 di sini yang menelan kos sebanyak lebih RM9 juta dijangka siap pada Mac tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemajuan projek berkenaan ketika ini hampir 60 peratus dan mampu disiapkan dalam tempoh tujuh bulan.

Katanya, jalan terbabit yang mula dibina pada 28 Mac 2022 itu akan memberi manfaat kepada 5,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri seperti di kawasan Kampung Bertam Baru, Kampung Bertam Lama, Kampung Jerek dan Kampung Limau Kasturi.

“Sebelum ini, projek itu mengalami lanjutan masa sebanyak dua kali kerana masalah pengambilan tanah dan bukan disebabkan ketidakcekapan kontraktor.

“Saya harap pihak kontraktor dapat menyiapkan kerja-kerja lebih awal dan menepati mutu kerja yang ditetapkan daripada segi kualiti, kos dan masa,” katanya kepada pemberita di Tapak Projek Membina Jalan dari Jambatan Bertam ke Jalan D235 di Kampung Bertam Lama di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan agar kerajaan negeri menggunakan sebaiknya peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) iaitu peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi membaik pulih jalan negeri.

Katanya, peruntukan itu diberi secara tahunan untuk membaiki jalan berlubang dan rosak.

“Saya harap kerajaan negeri mengatur peruntukan Marris yang diberi kerajaan persekutuan dengan baik agar membaiki jalan yang berstruktur kurang baik.

“Jalan persekutuan perlu prosedur operasi standard (SOP). Sebagai contoh, jalan berlubang mesti ditampal dalam tempoh 24 jam. Bagi SOP di negeri kita tidak tahu.

“Peruntukan Marris itu bukan sahaja boleh digunakan untuk jalan negeri, tetapi juga jalan bandaran di kawasan taman,” katanya. – Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *