Malaysia,Thailand kukuhkan hubungan diplomasi pertahanan

BKK 6

Mohamed Khaled bersama deligasi Malaysia ketika tiba di Bangkok Isnin lalu.

PETALING JAYA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin buat julung kalinya telah mengadakan lawatan rasmi ke Thailand selama dua hari bermula Selasa lalu.

Lawatan pertama beliau ke Negara Gajah Putih itu merupakan satu langkah penting dalam usaha mengukuh dan mempertingkat hubungan diplomasi antara Malaysia dan Thailand khususnya dalam konteks pertahanan.

Agenda utama lawatan itu adalah Mesyuarat ke-56 Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee) Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI) yang berlangsung semalam.

khaled 2 scaled
Mohamed Khaled bergambar bersama deligasi yang menyertai Mesyuarat ke-56 Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee) Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI) yang berlangsung semalam.

Jawatankuasa itu ditubuhkan berikutan termeterainya Perjanjian Persempadanan Am (General Border Agreement) pada tahun 1964 yang berfungsi sebagai platform utama dalam menguruskan kerjasama persempadanan antara kedua-dua negara.

Tiga jawatankuasa utama yang beroperasi di bawah struktur GBC ialah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC), Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC), dan Jawatankuasa Latihan Gabungan Bersama Thailand-Malaysia (THAMAL JCEC).

Semasa mesyuarat GBC MALTHAI, kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh jawatankuasa-jawatankuasa di bawah kerangka GBC.

Ia termasuklah dalam memperkukuh kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Diraja Thailand dalam menangani cabaran keselamatan sempadan yang dikongsi bersama kedua-dua negara.

Lawatan Menteri Pertahanan itu juga turut disertai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Turut serta pengurusan tertinggi dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri.

Terdahulu sebelum menghadiri mesyuarat GBC, Mohamed Khaled turut mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Phumtham Wechayachai, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand di Kementerian Pertahanan Thailand.

khaled 1 scaled
Mohamed Khaled ketika mengadakan pertemuan dengan Phumtham Wechayachai di Kementerian Pertahanan Thailand.

Dalam perbincangan bersama, kedua-dua pemimpin tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau, serta memajukan mekanisme keselamatan sedia ada di peringkat dua hala dan pelbagai hala.

Malah, bersempena Kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025, Mohamed Khaled turut menjemput Phumtham Wechayachai untuk menyertai Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 25 hingga 27 Februari depan.

ADMM dan ADMM Plus pula akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 21 November 2025.

Lawatan sulung Mohamed Khaled ke Thailand itu bukan sahaja mencerminkan keakraban hubungan strategik Malaysia-Thailand dalam pengurusan sempadan, tetapi juga memperkukuh komitmen kedua-dua negara dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.-https://amiminerals.org/