Pelapis perlu diberi lebih pendedahan

Boling 2

RAFIQ yakin pencapaian skuad boling negara kini sudah sebaris gergasi Asia dan dunia.

JAGUH boling lelaki negara, Rafiq Ismail menyifatkan perkembangan boling di Malaysia kini berada pada tahap terbaik dalam sejarah negara, malah pencapaian kini setanding gergasi Asia dan dunia.

“Boling di Malaysia sekarang berada di tahap yang paling bagus. Ramai pemain muda berbakat mula menceburi sukan ini, mungkin kerana inspirasi daripada kami yang mencipta banyak kejayaan,” ujar Rafiq.

Bagi memastikan kejayaan itu kekal berterusan, Rafiq mengakui pendedahan dan pengalaman adalah kunci utama selain pelapis muda perlu diberi lebih ruang untuk belajar serta berkembang di bawah bimbingan pemain senior.

“Cara untuk mengekalkan legasi ini ialah dengan membawa pelapis dan pasukan senior ke lebih banyak kejohanan bersama. Mereka perlu meraih pengalaman dan belajar daripada pemain senior,” jelasnya.

Rafiq berkata, pengalaman memainkan peranan penting dalam membina keyakinan diri dan mengasah bakat sedia ada.

Tambahnya, kerjasama antara pemain senior dan pelapis bukan sahaja dapat memperkuatkan skuad negara, tetapi juga melahirkan generasi baharu yang lebih matang seera kompetitif.

Menurutnya, Malaysia kini memiliki ramai pemain muda berbakat yang berpotensi besar untuk menjadi jaguh dunia suatu hari nanti, namun bakat sahaja tidak mencukupi tanpa peluang untuk mengasah kemahiran dalam pertandingan sebenar.

“Potensi pemain muda Malaysia sangat besar. Dengan lebih banyak pendedahan dan bimbingan menerusi kejohanan besar, tidak mustahil Malaysia akan terus mendominasi arena boling dunia,” ujarnya lagi.

Bagi seorang pemain yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, Rafiq percaya Malaysia sedang berada di landasan yang tepat untuk menjadi salah satu kuasa besar dalam arena boling dunia.