Ramai \’superman\’ di Jalan Juseng

rempit

JALAN Persiaran Raja Muda Musa di Klang yang turut dikenali sebagai ‘Jalan Juseng’ sangat popular dalam kalangan penunggang motosikal.

KLANG – Jalan Persiaran Raja Muda Musa yang lurus tidak ubah seperti ‘trek’ membuatkan lokasi tersebut menjadi kegilaan mat rempit khusus­nya untuk melakukan perlumbaan haram pada hujung minggu.

Rata-rata penduduk mendakwa, lokasi tersebut telah dijadikan sebagai ‘litar lumba’ sejak empat tahun lalu termasuk dalam kalangan mat rempit dari luar daerah ini.

Lokasi tersebut juga lebih sinonim dengan panggilan ‘Juseng’ dalam kalangan golongan muda sempena nama sebuah pasar raya yang pernah wujud di era 80-an.

Seorang penduduk, Mohd. Sallah Osman, 62, berkata, hampir setiap tahun berlaku kemalangan di lokasi tersebut sama ada disebabkan lumba haram atau sebaliknya.

Katanya, kebiasaannya anak muda akan menguji jentera mereka bermula dari persimpangan lampu isyarat Kompleks Sukan Pandamaran sehingga ke Pelabuhan Klang.

“Sudah empat tahun lokasi ini dijadikan litar lumba terutama pada malam minggu dan kadang kala pada malam Sabtu.

“Kebiasaannya waktu ­‘racing’ adalah bermula pada pukul 1 atau 2 pagi, namun semua bergantung sama ada polis melakukan operasi atau tidak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Bagi seorang lagi penduduk, Khairi Md. Ali, 42, keadaan jalan yang lurus sehingga lima kilo­meter membuatkan lokasi tersebut popular dalam kalangan anak muda.

Ujarnya, mereka akan berkumpul terlebih dahulu di beberapa tempat berhampiran Juseng sebelum mengatur sebarang perlumbaan haram.

“Jalannya yang lurus dan panjang seolah-olah memanggil golongan muda untuk mencuba jentera masing-masing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *