IPOH – Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis setelah disyaki terlibat dengan kejadian curi tiang lampu Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Menglembu di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian tersebut dilaporkan oleh pengadu iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun kira-kira pukul 9.47 malam.
Katanya, pengadu memberitahu telah melihat sebuah lori ingin keluar dari kawasan ladang dan membawa tiang besi milik TNB yang telah siap dipotong.
“Pengadu telah menutup pagar dan menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya dalam satu kenyataan.
Abang Zainal Abidin berkata, pihak polis telah mengambil tindakan pada pukul 11.43 malam dengan melakukan tangkapan ke atas suspek dan dia direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati tangkapan mempunyai 12 rekod pelbagai kes jenayah dan 12 rekod dadah.
“Hasil saringan air kencing mendapati tangkapan positif dadah jenis methamphetamin. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,”katanya. – https://amiminerals.org/