LOS ANGELES, CALIFORNIA – Loker pemain bola keranjang Amerika, Kobe Bryant yang digunakan secara peribadi di stadium Staples Center dilelong pada harga AS$2.9 juta (RM13 juta), lapor laman berita Hypebeast.
Firma lelongan Sotheby’s berkata, ia merupakan loker sukan paling bernilai pernah dijual di acara lelongan dan yang ketiga termahal dalam siri lelongan memorabilia melibatkan Bryant.
Ketua Koleksi Moden Sotheby’s, Brahm Wachter berkata, loker Bryant bukan sekadar memorabilia tetapi peninggalan penting salah seorang tokoh bola keranjang yang paling ikonik.
“Harga hari ini menyerlahkan bukan sahaja warisan Bryant yang kekal tetapi juga sifat luar biasa item unik ini,” ujarnya.
Loker itu disimpan oleh pekerja penyelenggaraan semasa pengubahsuaian Staples Center pada 2018 dan dijual secara persendirian kepada seorang pengumpul dari Amerika Syarikat. – AGENSI