DHAKA – Sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh di Bangladesh, di tengah-tengah pertempuran yang semakin buruk antara polis dan penunjuk perasaan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) hari ini.
Pergolakan berlaku ketika pemimpin kumpulan pelajar mengisytiharkan kempen penentangan bagi menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan.
Seramai 13 belas anggota dan pegawai polis terbunuh apabila beribu-ribu orang menyerang sebuah balai di daerah Sirajganj, kata polis.
Bantahan pelajar bermula dengan tuntutan untuk menghapuskan kuota dalam perkhidmatan awam pada bulan lalu, namun kini protes mereka bertukar menjadi gerakan anti kerajaan yang lebih meluas.
Jumlah kematian sejak demonstrasi bermula pada Julai lalu meningkat kepada lebih 280 orang.
Menurut laporan, pasukan polis dan penyokong parti pemerintah menembak penunjuk perasaan anti kerajaan dengan menggunakan peluru hidup. Polis juga menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk mengusir mereka.
Perintah berkurung semalaman di seluruh negara turut dilaksanakan sejak pukul 6 petang (waktu tempatan) semalam.
Bercakap selepas pertemuan dengan ketua-ketua keselamatan, Sheikh Hasina berkata, penunjuk perasaan bukan pelajar tetapi pengganas yang mahu menggugat kestabilan negara.
Di Dhaka, akses internet pada peranti mudah alih disekat, manakala kematian dan kecederaan dilaporkan di seluruh negara termasuk daerah utara Bogra, Pabna dan Rangpur.
Kira-kira 10,000 orang dilaporkan ditahan dalam operasi besar-besaran oleh pasukan keselamatan sejak dua minggu lalu. Mereka yang ditahan termasuk penyokong kerajaan dan penunjuk perasaan. – AGENSI