KETIADAAN pemain-pemain utama negara dalam skuad yang akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran (BAMTC) di Xiamen, China pada 11 hingga 16 Februari depan dianggap agak mengejutkan.
Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memiliki alasan tersendiri tidak menyenaraikan beberapa pemain sandaran termasuk perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia serta beregu lelaki No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya menjadikan kejohanan berpasukan itu sebagai medan untuk menguji skuad kedua menjelang Piala Sudirman pada April depan.
Memandangkan pemain-pemain utama negara sudah mengharungi beberapa kejohanan besar awal tahun ini, maka beliau menganggap BAMTC merupakan pentas paling sesuai buat mereka membuktikan kemampuan.
“Itu saya cakap, bukan kita nak menguji pemain-pemain seperti Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah, Sze Fei-Izzuddin ataupun Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kerana mereka sudah bermain di kejohanan besar.
“Bila lagi kita mahu beri kesempatan kepada pemain-pemain lain kalau tidak cuba sekarang? Siapa tahu kalau dapat tengok Arif (Junaidi)-Yap Roy King bermain baik, nanti kita ada lebih pilihan di Piala Sudirman.
“Kita tidak boleh terus mengharapkan orang sama dalam setiap kejohanan. Sebagai contoh, China dan Jepun tidak akan menurunkan pasukan terkuat kerana mereka mahu tengok (prestasi) pemain-pemain lain,”katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.
BAM mengumumkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran negara pada saingan BAMTC dengan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai merupakan satu-satunya gandingan berpengalaman.
Turut membarisi skuad adalah Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang menggalas cabaran perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki terdiri daripada Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Arif-Roy King.
Perseorangan wanita bakal menyaksikan K. Letshanaa dan Wong Ling Ching akan menjadi pertaruhan sementara cabaran beregu wanita digalas Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.
Mengiringi Soon Huat-Shevon dalam acara beregu campuran nanti adalah gandingan meningkat naik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
“Piala Sudirman adalah sasaran utama dan kita harus tahu apa yang perlu jadi keutamaan. Saya tidak mahu kita sasarkan Piala Sudirman tetapi pemain-pemain masih menyertai kejohanan tanpa henti,”ujar Rexy.