Simbah cat KK Mart UM: Dua lelaki diburu polis

13224f3a 2897 40dd b797 bf47f399616e

Keadaan KK Mart selepas disimbah cat merah 21 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua lelaki yang menaiki motosikal disyaki terlibat dalam kes simbah cat merah di kedai serbaneka KK Mart di dalam kampus Universiti Malaya, di sini, 21 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dapatan itu adalah berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang berada di sekitar tempat kejadian.

Katanya, siasatan mendapati KK Mart ini ditutup (tidak beroperasi) pada 10 Januari manakala kejadian berlaku pada tengah malam 21 Januari.

“Ada individu yang berada di kedai sebelahnya mendengar bunyi seterusnya berlaku simbahan cat.

“Kita jalankan siasatan, memang ada orang datang dengan menaiki motosikal. Kawasan di situ ada CCTV yang dilihat mampu membantu di mana kita lihat pergerakan dua lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut meminta orang ramai agar tidak melakukan provokasi serta melakukan perbuatan jenayah susulan isu sijil halal ‘ham and cheese sandwich’ sebelum ini.

“Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil dan salurkan, untuk kita proses siasatan.

“Nasihat saya, jangan kita lakukan provokasi dan mengambil tindakan jenayah yang boleh menjejaskan industri dan menimbulkan keadaan tidak selamat,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan tiga individu sudah dirakam percakapan berhubung kejadian menyimbah cat merah di kedai serbaneka KK Mart UM, setakat 22 Januari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – https://amiminerals.org/.