Berani ambil risiko punca kebangkitan PSG

PSG 2

RAMOS meraikan jaringan selepas meledak gol keempat PSG dalam kebangkitan menewaskan City. – AFP

PARIS – Kemenangan 4-2 ke atas Manchester City pada perlawanan di Parc des Princes awal pagi semalam menyaksikan kedudukan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini hampir selamat.

Bagaimanapun, PSG tidak boleh terlalu selesa memandangkan apa sahaja boleh berlaku kerana menghuni tangga ke-22 saingan ketika ini selepas mengumpul 10 mata, hanya dua mata dibezakan dengan zon penyingkiran.

Jurulatih PSG, Luis Enrique berkata, beliau langsung tidak menjangka pasukannya mampu melakar kebangkitan berdepan City, terutamanya apabila mereka sudah ketinggalan 0-2 pada satu ketika.

“Ketika kami ketinggalan 0-2, saya tidak percaya kami boleh lakukan kebangkitan kerana berdepan City. Bagaimanapun, pemain-pemain menjalankan tugas seperti biasa dengan melakukan asakan ke arah pintu gol mereka.

“Kredit juga kepada penyokong-penyokong yang turut menjadi kunci kepada kemenangan hari ini (semalam). Saya yakin keputusan ini akan menambah kekuatan kepada pemain untuk mengharungi perlawanan akan datang,”katanya.

Pada perlawanan itu, City terlebih dahulu mendahului 2-0 hasil jaringan Jack Grealish dan Erling Haaland sebelum PSG bangkit dengan empat gol menerusi Ousmane Dembele, Bradley Barcola, Joao Neves serta Goncalo Ramos.

“Ketika waktu rehat, saya menggesa pemain-pemain supaya lebih berani mengambil risiko kerana kami sebenarnya mampu bersaing dengan mereka. Walaupun ketika ketinggalan 0-2, pemain-pemain masih bekerja keras untuk bangkit,”ujar Enrique. – AGENSI