Sampai awal 1 minit, pelumba Belgium ‘pishang’ tunggu lawan

pelumba belgium

Tangkap layar menunjukkan pelumba Belgium berjaya ke garisan penamat seminit lebih awal. – X

PARIS – Pelumba berbasikal Belgium, Remco Evenepoel mencipta sejarah baharu di pentas Sukan Olimpik selepas meraih pingat emas kedua dalam acara lebuh raya lelaki meskipun berdepan detik dramatik apabila tayar basikalnya pancit, lapor portal berita Yahoo. 

Atlet berusia 24 tahun itu menjuarai acara ujian masa individu sebelum ini. Dia muncul pelumba berbasikal lelaki pertama yang memenangi emas berganda di Sukan Olimpik. 

“Memenangi dua pingat emas cukup istimewa dan sesuatu yang saya perlu hargai sepanjang hidup saya,” kata Evenepoel. 

Kejayaan Evenepoel tidak hadir dengan mudah apabila tayar basikalnya pancit pada jarak 3.8 kilometer daripada garisan penamat. 

“Ia merupakan detik penuh tekanan kerana saya tidak terlalu pasti tentang jurang masa. Mereka (petugas) kemudian memberitahu saya ada kelebihan 25 saat.

“Saya hanya mahukan basikal baharu dan tiba di garisan penamat secepat mungkin. Mujurlah segala-galanya bertukar positif,” tambahnya. 

Lebih mengejutkan orang ramai apabila dia berjaya ke garisan penamat seminit lebih awal. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @PicturesFoIder, atlet Belgium itu melintasi garisan penamat sambil menerima sorakan gemuruh penonton.

Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 7.1 juta tontonan. Rata-rata, netizen memuji semangatnya dan sikap tidak berputus asa meskipun berdepan pelbagai cabaran. 

“Wah! 1 minit awal? Itu bukan hanya kemenangan, itu adalah mendominasi perlumbaan!” puji seorang netizen. 

“Inilah definisi aura yang sebenarnya,” kata netizen lain. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *