PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peluang mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin dunia sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Switzerland.
Anwar berkata, beliau antaranya bertemu dengan Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibeh yang senada untuk melonjakkan lagi sinergi kerjasama di peringkat ekonomi, pelaburan dan perdagangan.
“Sewaktu sesi dengan Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof pula kesepakatan dijabat tangan dalam meningkatkan hubungan pendidikan, ekonomi dan perdagangan di masa hadapan.
“Dalam pertemuan dengan Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, kami bertukar pandangan dalam merancakkan lagi hubungan dua hala selain isu semasa termasuk gencatan senjata di Gaza,”katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, beliau menjemput kesemua pemimpin berkenaan untuk melawat Malaysia yang kini menjadi Pengerusi ASEAN 2025 supaya keharmonian hubungan diplomatik yang terjalin terus segar.
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan, beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN bertajuk ‘Even Stronger Together’ menekankan tentang keamanan sejagat.
Kata beliau, faktor keamanan sejagat merentasi benua perlu diambil kira bagi terus mengekalkan kestabilan dunia di sebalik semangat dan kerancakkan mengejar perubahan arus teknologi dunia dan kepesatan ekonomi.
“Poin kritikal itu perlu diberi perhatian serius mana-mana negara, blok mahu pun kesatuan jika ingin memastikan kehadiran pelabur terus rancak menghangatkan peluang perdagangan yang ada.
“Saya turut memberikan contoh dan pandangan mengenai situasi di Myanmar dimana lebih banyak libat urus di pelbagai lapisan dan pihak berkaitan, perlu diadakan bagi memastikan kestabilan dan keamanan benua ASEAN terus dipelihara,”katanya. – https://amiminerals.org/