JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan berhubung penemuan mayat seorang wanita tempatan yang ditemui di dalam sebuah kereta Perodua Alza di Taman Ungku Tun Aminah, pada bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui pada 1 Disember lalu dengan kesan tikaman di bahagian dada, muka, dan lengan.
Katanya, tiga individu telah ditangkap pada 11 Januari lalu oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 31 hingga 48 tahun yang ditahan di kawasan Tampoi, Johor dan Setiawan, Perak.
“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan terhadap tangkapan berjaya, pihak polis berjaya merampas senjata iaitu sebahagian gunting yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, polis turut merampas sepucuk pistol bersama 48 butir ‘ball bearing’ yang disembunyikan di kawasan perumahan di Tampoi.
Katanya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan pertuduhan telah dikeluarkan.
“Ketiga-tiga suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan atas kesalahan subahat membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan maksimum 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
“Salah seorang daripada suspek juga berdepan dua pertuduhan lain iaitu Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan hilangnya keterangan berkaitan kesalahan jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga 7 tahun dan denda.
“Dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen, dengan hukuman maksimum penjara 7 tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya,”katanya.
Jelas Kumar, ketiga-tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada esok.-https://amiminerals.org/