Mat saleh teruja makan nasi kandar, fantastik!

lead 20

Pasangan pelancong dari Perancis menikmati hidangan nasi kandar di George Town, baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Makanan signatur Pulau Mutiara, nasi kandar kini semakin ‘digilai’ pengunjung luar negara terutama dari Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) setiap kali bercuti ke negeri ini.

Mereka juga dikatakan sanggup berhabis puluhan ringgit demi sepinggan hidangan itu.

Seorang pelancong dari Peran­cis yang mahu dikenali sebagai Mike, 29, tidak menyangka dapat menghabiskan sepinggan nasi kandar dengan hidangan lauk ayam, kuah ikan, telur rebus, sayur kubis dan bendi ketika mengunjungi ke Restoran Nasi Kandar Sulaiman di sini kelmarin.

“Saya teruja datang bercuti ke Pulau Pinang semata-mata untuk menikmati rasa sebenar nasi kandar.

“Ini pertama kali saya merasainya dan dapat menghabiskan hidangannya sehingga tiada satu (baki lauk) yang tertinggal.

“Rasanya terlalu fantastik dan sedap. Bagaikan tidak percaya saya mula menyukainya dan akan menjadi makanan pilihan utama setiap kali turun dari kapal terbang,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pelancong dari AS memberitahu, dia mengenali makanan popular tersebut menerusi media sosial dan memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pertama pada awal tahun ini.

“Lega apabila dapat merasai keaslian sebenar hidangan nasi kandar dengan lauk ayam, da­ging, udang (dua ekor) dan telur rebus (dua biji) pada harga RM47 sepinggan.

“Meskipun ini kali pertama menikmatinya, tetapi saya berjaya menghabiskannya.

“Saya sanggup berhabis duit demi merasai nasi kandar asli di Pulau Pinang. Memang ia satu kepuasan,” katanya.

Sementara itu, Pengusaha Restoran Nasi Kandar Sulaiman, Mirzan Mohamed Yasin berkata, berlaku peningkatan kehadiran pelanggan di premisnya pada musim cuti akhir persekolahan kali ini sehingga 60 peratus mulai kelmarin.

“Peningkatan ini dapat dilihat mulai semalam (kelmarin) jika dibandingkan dengan minggu lalu, sebelum cuti sekolah.

“Pelancong asing seperti Indonesia, Jerman, Australia dan Pe­rancis gemar memilih lauk ayam, ikan, daging, udang, kuah kari ikan dan sayur-sayuran dalam satu hidangan nasi kandar,” katanya.