Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour
KUALA LUMPUR, 21 Jan(Iteenews) –Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau dengan teliti imbangan risiko yang berkaitan dengan inflasi domestik dan prospek pertumbuhan untuk memastikan pendirian dasar monetari Malaysia kekal kondusif kepada pertumbuhan yang mampan di tengah-tengah kestabilan harga.
Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan pendekatan kepada dasar monetari kekal dipacu berasaskan data dan berpandangan ke hadapan.
“Bagi mengharungi cabaran dan ketidakpastian ini dengan lebih baik, terutamanya pada dasar monetari, kami terus meneroka kaedah-kaedah perbatasandan melangkaui pendekatan konvensional.
“Kami memanfaatkan pejabat-pejabat serantau kami untuk menjalankan pengawasan di lapangan dan terlibat secara aktif dengan industri-infustri yang berkaitan,” katanya dalam ucaptama pada prapelancaran Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali (TIA CoE) semalam.
Selain itu, beliau berkata BNM menggunakan data frekuensi tinggi untuk menilai keadaan ekonomi dan menghabiskan banyak masa untuk menapis gangguan daripada data tersebut.
Beliau menekankan bahawa walaupun dasar monetari sentiasa melibatkan tahap ketidakpastian, trend makroekonomi baru-baru ini — termasuk penemuan teknologi berterusan yang datang daripada pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, serta perubahan dinamik geopolitik — telah menguatkan ketidakpastian ini.
“Ini memaksa kami untuk menilai semula pendekatan kami terhadap dasar monetari dan meningkatkan tumpuan kepada penilaian risiko, bagi memastikan ia diutamakan untuk menyokong pembuatan keputusan yang termaklum dan berkesan.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, Malaysia tidak berbeza dengan negara lain di dunia,” tambahnya.