JOHOR BAHRU – Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi selamat dalam satu kebakaran melibatkan sebuah kediaman di Kampung Oren, Ulu Tiram dekat sini, awal pagi semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Rafie Ahmad Sareng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.46 pagi.
Sehubungan itu, seramai 24 anggota beserta lima buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kediaman berkeluasan 24 darab 40 kaki itu telah 80 terbakar. Pemeriksaan dibuat mendapati terdapat empat orang mangsa di dalam kejadian berkenaan.
“Tiga mangsa ditemukan maut dengan kesan melecur di seluruh badan. Seorang wanita dewasa beserta seorang kanak-kanak ditemukan maut di dalam bilik tidur manakala seorang lelaki dewasa ditemukan maut di dalam bilik air,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rafie, seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun selamat namun turut tercedera di bahagian muka dan tangan ditemukan di ruang tamu.
“Anggota terlibat bertindak memecahkan grill pintu hadapan untuk menyelamatkan mangsa,”katanya sambil memberitahu mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.