LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui semakin muak melihat prestasi ‘yo-yo’ pasukan selepas hanya mampu seri 2-2 ketika menentang Brentford di Stadium Komuniti GTech awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad The Citizens mempamerkan dominasi penuh sepanjang permainan apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan berganda Phil Foden sebelum tuan rumah bangkit pada 10 minit terakhir untuk mencuri satu mata berharga.
Kata Guardiola, ketumpulan jentera serangan menjadi faktor pasukan gagal meneruskan momentum untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga musim ini.
“Saya dapat lihat banyak kelemahan pada perlawanan ini dan saya tidak mahu menyerang kesilapan pemain individu. Cuma, ketika kita rancak menyerang, pasukan gagal menambah gol yang diharapkan.
“Kita ada banyak peluang keemasan menerusi Savinho, Foden, Matheus (Nunes) dan Erling (Haaland), tetapi segalanya tidak menepati sasaran. Justeru, saya harap kelemahan ini dapat diperbaiki pada aksi akan datang,” katanya.
Sementara itu, pengendali The Bees, Thomas Frank memuji prestasi pasukan yang sangat konsisten musim ini apabila berjaya mengikat salah satu kelab terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya rasa dalam tempoh empat tahun, ini kali pertama kita berjaya bersaing sengit dengan tiga kelab terbaik EPL seperti City, Liverpool dan Arsenal. Bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan 0-2 tetapi pemain saya tidak pernah menyerah,” katanya. – AGENSI