Sistem tol tanpa palang masih diperhalusi – Alexander

Alexander bergambar bersama beberapa wakil syarikat konsesi selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur hari ini.

Alexander bergambar bersama beberapa wakil syarikat konsesi selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR- Pelaksanaan sistem pembayaran kutipan tol secara aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) akan dibawa ke Kabinet seawalnya bulan ini sebelum ia dimuktamadkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketika ini cadangan itu sedang diperhalusi di peringkat kementerian termasuk kaedah pelaksanaan yang ingin dipilih sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Kata beliau, pelaksanaan sistem itu perlu melalui beberapa peringkat dan pihaknya tidak mahu tergesa-gesa untuk membuat keputusan.

“Ia (cadangan pelaksanaan MLFF) sedang diperhalusi untuk dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Keputusan bagaimana kita nak pilih pelaksanaan MLFF nanti ada beberapa peringkat.

“Kita cuba Januari inI, tak mahu tergesa-gesa (sebab MLFF) ini penting,” katanya pada sidang akhbar pada selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan mengenai penggunaan sistem pembayaran MLFF dijangka dimuktamadkan pada 16 Disember lalu.

Jelas beliau, sebanyak 20 syarikat konsesi lebuh raya sedang dalam rundingan, manakala 13 lagi masih belum bersetuju menggunakan sistem berkenaan.

Katanya, pelaksanaan MLFF juga perlukan kepada pindaan akta tertentu dilakukan antara lain untuk mengekang tindakan pihak yang mengelak daripada bayaran tol.

Menerusi sistem MLFF, semua laluan keluar dan masuk lebuh raya terlibat akan ditukar kepada laluan tiada halangan bagi mengurangkan kesesakan dan menyuraikan aliran trafik. – https://amiminerals.org/