IPOH – Pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa percanggahan berhubung tarikh kad memori pada kamera papan pemuka (dashcam) kereta jenis Perodua Ativa dipandu Deputi Superintendan Mohd. Nazri Abdul Razak diakses adalah disebabkan komputernya tidak ‘auto-update’.
Jelas saksi pendakwaan ke-33, Asisten Superintenden S. Dasarathan, 48, kad itu beliau akses pada 20 Disember 2023 dan hanya beliau yang mempunyai akses kepada eksibit itu yang diambil daripada kereta tertuduh.
“Berkenaan isu ini, sebenarnya dashcam dan kad memori dirampas pada 20 Disember 2023 dan diserahkan kepada saya pada hari sama. Saya mengambil kad memori itu dan telah akses menggunakan komputer saya.
“Komputer saya tiada sambungan internet dan tiada ‘auto update’ terhadap tarikh dan masa pada komputer. Walaupun diakses pada 20 Disember 2023, tarikh yang ditunjukkan masih 19 Disember 2023,”katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di sini hari ini.
Tambah saksi itu, beliau mengakses rakaman yang terdapat dalam kad memori tersebut menerusi komputer di pejabatnya pada hari sama setelah diserahkan oleh Inspektor Jong Pit Chao.
Terdahulu, Afzainizam meminta penjelasan Dasarathan berhubung penyataan bertulisnya pada prosiding sebelum ini yang memaklumkan dapatan daripada analisa forensik mendapati kad memori pada dashcam Perodua Ativa itu pernah diakses empat hari selepas kejadian perlanggaran berlaku pada 15 Disember 2023.
Rampasan terhadap kad memori dashcam berkenaan dibuat pada 20 Disember 2023.
Menjawab soalan Afzainizam mengapa tiada rampasan dekoder kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Muhammad Al-Fateh dan sebuah rumah di Gerbang Meru Indah, Dasarathan berkata, rampasan tidak dibuat kerana peranti itu masih digunakan pemiliknya dan tiada sebarang suntingan dibuat terhadap rakaman CCTV itu ketika membuat salinan melalui komputernya. – https://amiminerals.org/