AMPANG – Pengurus syarikat swasta menanggung kerugian lebih RM1.63 juta selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan di laman Facebook.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menerima satu laporan daripada pengurus syarikat terbabit di daerah Ampang Jaya.
Katanya, mangsa warga tempatan berusia 61 tahun bekerja sebagai pengurus syarikat swasta telah tertarik dengan satu iklan pelaburan kripto mata wang asing di Facebook.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek melalui panggilan telefon dan kemudian suspek telah memberikan satu link pelaburan iaitu https://www.uvkxeoe.com/#/exchange dikatakan bagi tujuan pelaburan.
“Mangsa telah membuat 15 kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam enam akaun bank suspek yang berbeza bagi tujuan membeli mata wang USD untuk ditukarkan ke dalam mata wang kripto,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan setelah memasukkan wang tersebut.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada masyarakat umum supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan/pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” tegasnya. -https://amiminerals.org/