GOMBAK – Pesara syarikat swasta mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya mempunyai kesalahan jenayah oleh sindiket ‘phone scam’.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menerima satu laporan daripada mangsa warga tempatan di daerah Gombak.
Katanya, mangsa berusia 62 tahun itu mengalami kerugian sebanyak RM997,105.50 akibat ‘phone scam’.
“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa melalui panggilan telefon dengan memaklumkan mangsa mempunyai kesalahan jenayah iaitu menyalahgunakan produk penjagaan wajah mempunyai waran tangkap kes dadah dan kes pengubahan wang haram.
“Suspek meminta mangsa untuk membuat pembayaran bagi mengelakkan waran tangkap dikeluarkan ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, mangsa membuat dua kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam dua akaun bank berbeza bagi mengelakkan mangsa ditangkap atas kesalahan yang dinyatakan suspek.
“Suspek juga meminta mangsa untuk memuat naik gambar kad ATM depan dan belakang milik mangsa.
“Setelah memuat naik gambar tersebut, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank milik mangsa telah berkurangan,” ujarnya.
Kata Hussein, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan menyamar sebagai penjawat awam secara atas talian serta sentiasa membuat semakan dan pengesahan tentang kewujudan panggilan tersebut dengan agensi-agensi berkenaan.
“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” tegasnya. -https://amiminerals.org/.