Rumah agam harga setengah bilion musnah jadi abu

rumah ikonik musnah

Rumah agam ikonik ini musnah dalam kebakaran Palisades. – Daily Mail

LOS ANGELES, CALIFORNIA – Sebuah rumah agam ikonik bernilai AS$125 juta (RM560 juta) yang dipaparkan dalam siri televisyen Amerika Syarikat, Succession hangus dalam kebakaran besar di Los Angeles, California, lapor akhbar Metro UK semalam.

Hartanah yang dikenali sebagai estet San Onofre itu telah dibeli pada harga AS$83 juta (RM370 juta) pada 2021 oleh Ketua Eksekutif Luminar Technologies, Austin Russell. Ia kemudian dipaparkan pada musim keempat dan terakhir drama di saluran HBO tersebut.

Dalam drama itu, rumah agam tersebut digunakan sebagai penginapan mewah untuk adik-beradik Roy yang dilakonkan oleh Jeremy Strong, Kieran Culkin dan Sarah Snook, ketika mereka merancang langkah seterusnya untuk menentang bapa mereka.

Terletak di estet San Onofre di Pergunungan Santa Monica, ia dipercayai rumah paling mahal di Pacific Palisades.

Bagaimanapun, hartanah tersebut musnah dalam kebakaran Palisades yang telah memusnahkan kawasan kejiranan tepi pantai yang mewah.

Gambar rumah dengan 18 bilik tidur dan enam bilik air itu menunjukkan serpihan logam terdedah dan serpihan abu bertaburan di atas tanah.

Walaupun lubang api di taman kekal, ia kini dilitupi jelaga, manakala air di kolam luar bertukar hitam. – AGENSI