Pulau hantu muncul, ghaib tiba-tiba

pulau hantu

Imej satelit merakam pulau hantu yang muncul dan hilang secara tiba-tiba. – SWNS

BAKU – Saintis-saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bingung melihat imej satelit yang memaparkan sebuah ‘pulau hantu’ muncul tiba-tiba sebelum ia hilang secara misteri, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Bonjolan berpasir yang pelik itu muncul di Laut Caspian selepas gunung berapi lumpur meletus pada awal 2023.

Pada penghujung tahun lepas, ia hampir hilang sepenuhnya dan ghaib seperti penampakan, demikian menurut Balai Cerap Bumi NASA.

Peralatan penderiaan Operational Land Imager dan OLI-2 yang dipasang pada satelit Landsat 8 dan 9 merakam imej yang menunjukkan pulau itu berkembang serta mengecut 24 kilometer dari pantai timur Azerbaijan, berhampiran ibu kota, Baku.

Pulau sementara itu terbentuk di sekitar tapak gunung berapi lumpur Kumani Bank yang juga dikenali sebagai Chigil-Deniz, sejurus selepas ia meletus.

Para saintis berpendapat bahawa letusan itu memuntahkan bahan pepejal yang cukup untuk membentuk binaan sementara yang tersangkut di atas permukaan air.

Ahli Geologi Universiti Adelaide, Mark Tingay berkata, pemerhatian satelit tambahan mencadangkan pulau itu terbentuk antara 30 Januari hingga 14 Februari 2023, dan berukuran kira-kira 400 meter melintang.

“Menjelang akhir tahun 2024, hanya secebis tanah kecil di Kumani Bank yang kelihatan di atas air, dan ia akan hilang juga tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI