Bursa Malaysia Dijangka Alami Kenaikan Sederhana Minggu Depan, Didorong Optimisme

f74c35888a8bfe1571a342a706cfe93f668e7d1365fa4

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Iteenews) — Bursa Malaysia dijangka merekodkan aliran pergerakan meningkat yang sederhana minggu depan, didorong aktiviti pembelian semasa harga murah dan keyakinan berkaitan perkembangan domestik.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dagangan mungkin kekal dalam julat kecil kerana pelabur menilai optimisme berkaitan peluang tempatan dalam keadaan pendirian berhati-hati terhadap ketidaktentuan global.

Beliau berkata asas ekonomi Malaysia yang kukuh merupakan asas keyakinan pelabur.

“Asas kukuh ini membawa kestabilan dan menarik pelaburan berterusan, walaupun dalam keadaan cabaran luaran,” katanya kepada Iteenews.

Beliau berkata di peringkat global, laporan gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) bagi Disember 2024, yang dikeluarkan pada Jumaat, menunjukkan pertumbuhan yang lebih teguh berbanding dengan jangkaan, melepasi unjuran median oleh kalangan penganalisis.

Walaupun data itu menunjukkan pasaran buruh yang positif namun, maklumat tersebutturut mencetuskan turun naik ketara pasaran kerana pelabur mengharapkan angka yang lebih rendah untuk menyokong kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), katanya.

Mohd Sedek berkata kekukuhan pasaran pekerjaan yang luar jangka itu mengurangkan kemungkinan dua kali pengurangan kadar faedah bagi tahun ini, seperti yang dijangka sebelum ini.

Beliau berkata di peringkat domestik, pemformalan Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang ditandatangani pemimpin Malaysia dan Singapura, menjadi satu perkembangan penting.