U Mobile Dijangka Bekerjasama Biayai Capex 5G RM3 Bilion-RM4 Bilion – RHB Investment Bank

7b6a12e0c218568721362e6b75437ecb65811f85aa7a8

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Iteenews) — U Mobile Sdn Bhd dijangka melaksanakan kerjasama rangkaian untuk membiayai perbelanjaan modal (capex) 5G yang dianggarkan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion berikutan terpilih sebagai penyedia akses rangkaian 5G kedua, menurut RHB Investment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikan hari ini katanya perkongsian infrastruktur rangkaian itu akan mempercepat penempatan tapak, membolehkan sasaran liputan penduduk tercapai dengan lebih pantas.

“Walaupun U Mobile belum mengumumkan pelan pelancarannya, kami menerima maklumat daripada sumber industri bahawa ia berpotensi untuk membangunkan 5,000-7,000 tapak 5G di seluruh negara melalui naik taraf tapak 4G sedia ada dan pembinaan baharu,” katanya.

Berikutan pemilihan itu, pelabur utama dan pemegang saham utama U Mobile, Singapore Technologies Telemedia, yang berkaitan dengan Temasek, telah menjual pegangan sahamnya kepada entiti tempatan yang diuruskan oleh Tan Sri Vincent Tan, pemegang saham utama U Mobile yang lain.

Pada Julai 2024, U Mobile memeterai memorandum persefahaman dengan empat penyedia infrastruktur rangkaian — Bullish Aim, OCK Group, Edgepoint Towers dan Naza Communications — untuk memudahkan pemasangan tapak.

“Kami yakin gabungan pembiayaan vendor, pilihan pembayaran tertunda dan pembiayaan hutang sedang dinilai untuk membiayai pengembangan rangkaian,” katanya.

Bagi 2025, bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan hasil perkhidmatan mudah alih nominal berikutan kecenderungan penggunaan/perbelanjaan mungkin terjejas disebabkan kesan sekunder daripada pengurangan subsidi selanjutnya.

Selain cabaran untuk menjana keuntungan daripada 5G, purata hasil mudah alih bagi setiap pengguna mungkin terus mengalami tekanan, katanya.

“Kami melihat persaingan yang berterusan dalam segmen jalur lebar tetap (FBB) memandangkan pengendali rangkaian mudah alih terus menawarkan pakej FBB-mudah alih untuk mendorong pengekalan pelanggan,” katanya.