‘Laptop’, nota dan buku rujukan dua beradik hangus dijilat api

WhatsApp Image 2025 01 04 at 2.25.34 PM

Mohamad Akmal Muqri (kiri) bersama Mohamad Lutfi Muqri hanya mampu melihat buku-buku teks peperiksaan hangus terbakar. – Foto RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Dua beradik yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berdepan detik sukar apabila kelengkapan peperiksaan serta pakaian sekolah musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Sri Jaya, Skudai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, rumah kayu separuh kekal yang didiami enam sekeluarga itu musnah kira-kira 50 peratus.

Menceritakan detik cemas, Mohamad Lutfi Muqri Mohamad Farok, 18, berkata, ketika kejadian, dia bersama nenek dan sepupunya berada di ruang tamu rumah manakala manakala ibu bapa dan abang serta kakaknya keluar makan.

“Sepupu saya baru sampai dari Pulau Pinang sebab dapat kerja di Johor Bahru, kami tengah berbual tiba-tiba terdengar bunyi letupan datang dari bilik saya.

“Saya terus bergegas dan tengok api sudah marak, kami cuba padam api guna paip air tetapi tidak berhasil kerana api marak dengan pantas, saya terus arahkan nenek dan sepupu keluar rumah menyelamatkan diri,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohamad Lutfi yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda berkata, dia terus menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian itu untuk meminta bantuan.

Sementara itu, abangnya, Mohamad Akmal berkata, dia bersama ibu bapa serta kakaknya yang baharu pulang dari keluar makan terkejut apabila sampai di rumah melihat api sedang marak.

“Adik saya tak sempat hubungi saya sebab dia panik, kebetulan kami sudah sampai rumah, terkejut tengok api merah membakar rumah kami,”katanya.- https://amiminerals.org/