Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 4 Jan (Iteenews) – "Anak baru sahaja memberikan saya dan mama sejumlah wang untuk dibawa ke umrah, tak sangka itulah pemberian terakhirnya," kata ayah kepada atlet paragliding negara, Muhammad Nurniqmat Ruslan, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika menjalani latihan di pantai Hua Hin,Prachuap Khiri Khan.
Ruslan Mehat, 64, berkata anak bongsunya itu telah memberikan sejumlah wang pada hujung tahun lepas dan awal tahun inisebelum kejadian.
"Nurniqmat telah memberikan wang itu dengan niat untuk berbakti kepada keluarga dan membantu kami menunaikan umrah nanti. Namun ketika itu, kami tidak menyangka apa-apa," katanya kepada Iteenews ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul Abideen, Bangkok, pada Sabtu.
Ruslan berkata beliau mendapat tahu mengenai kemalangan itu pada petang Jumaat dan segera menempah tiket penerbangan untuk keBangkok awal pagi Sabtu sebelum meneruskan perjalanan ke Hua Hin.
Beliau berkata Nurniqmat, 31, yang bertugas sebagai jurutera sokongan teknikal di kilang IBM, merupakan seorang yang penyayang terhadap keluarga dan aktif dalam sukan paragliding sejak dua tahun lepas.
<!––>
"Kami tidak menyangka dia akan terlibat dalam kemalangan dan pergi buat selama-lamanya. Saya reda dengan ketentuan Allah," katanya.
Ruslan turut memaklumkan bahawa anak bongsunya itu merupakan pesakit buah pinggang dan menjalani pemindahan buah pinggang dua tahun lepas.
"Arwah sangat gembira selepas menerima buah pinggang dan sering bersyukur kerana organ yang saya dermakan itu sesuai dengan badannya," katanya dengan nada sebak.