Kredit: MPOC Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Kaur Sron (Kredit: MPOC)
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 3 Jan (Iteenews) — Pelaksanaan Piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) MS2530:2022 (MSPO 2.0) memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan dan menguatkan kedudukannya di pasaran global, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
MSPO 2.0 berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Jan 2025 dan memperkenalkan garis panduan yang lebih tegas mengenai kemampanan, kebolehkesanan dan amalan etika dalam pengeluaran minyak sawit.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Kaur Sron berkata pelaksanaan MSPO 2.0 yang dipertingkatkan akan membolehkan MPOC mempromosikan kemampanan dan kualiti minyak sawit Malaysia dengan lebih berkesan serta memperteguh reputasinya di peringkat antarabangsa.
“MSPO 2.0 memperkenalkan langkah lebih tegas untuk mencegah penyahhutanan, melindungi kawasan mempunyai nilai pemuliharaan tinggidan menangani kebimbangan utama alam sekitar.
“Dengan melibatkan pekebun kecil dalam rantaian bekalan mampan dan meningkatkan kebolehkesanan, piawaian ini mewujudkan rangka kerja yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya kepada Iteenews hari ini.
Belvinder berkata penambahbaikan ini bukan sahaja meningkatkan kemampanan malah akses pasaran memandangkan pihak berkepentingan semakin memerlukan produk yang memenuhi piawaian alam sekitar dan sosial yang teliti.
“MSPO 2.0 sejajar dengan penanda aras kemampanan antarabangsa, termasuk Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
“Mekanisme kebolehkesanan yang dipertingkatkan dan prinsip memfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memastikan minyak sawit Malaysia memenuhi jangkaan pengguna dan pengawal selia yang mengutamakan alam sekitar di seluruh dunia,” katanya.