Tayar botak kesalahan paling banyak dikesan JPJ 

IMG 20250101 WA0031

MOHAMMAD Yusoff (kanan) menjalankan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya pada Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2025 di Meru Raya di Ipoh semalam.

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan sebanyak 583 notis kesalahan ke atas kenderaan perdagangan sepanjang enam hari pelaksanaan Operasi Khas Gempur Teknikal bermula 26 Disember lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 208 kenderaan yang diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan sebuah kenderaan pula disita.

Katanya, kesalahan terbanyak yang dikesan dalam operasi berkenaan melibatkan kesalahan teknikal termasuk ekzos dan lampu, tayar serta ubahsuai kenderaan.

“Kesalahan melibatkan penggunaan tayar botak yang boleh menjadi punca kepada kemalangan merupakan antara kesalahan teknikal yang paling banyak dikesan dalam operasi ini dengan 104 kes.

“Penggunaan semula tayar sebenarnya tidak sesuai kerana dalam tayar itu sendiri ada jaringan dawai dan apabila digunakan dalam tempoh tertentu, ia akan mengalami kerosakan dan ada yang putus.

“Jadi, tidak mustahil kalau tayar ini digunakan semula, kekuatannya sudah tidak sama seperti yang disyorkan dan ia boleh meletup atau pecah pada bila-bila masa,”katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2025 di Meru Raya, di sini semalam.

Menurut beliau, tindakan syarikat tayar yang menawarkan perkhidmatan menukar tayar kepada pengusaha-pengusaha kenderaan berat bagi pemeriksaan Puspakom disifatkan tidak wajar dan amat dikesali. -https://amiminerals.org/