PETALING JAYA – Ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem diputuskan sesat serta menyelewng daripada akidah Islamiah, syariah dan akhlak oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, keputusan itu berdasarkan hujah dan fakta dikemukakan penyelidik menerusi kajian serta dapatan yang dilakukan terhadap kandungan ceramah, pengajaran ucapan dan dialog yang disampaikan menerusi media digital.
Malah katanya, jawatankuasa tersebut mendapati ajaran berkenaan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
“Antara ciri penyelewengan ajaran itu adalah mendakwa Allah SWT harus mempunyai anak, Allah SWT seolah-olah mempunyai sifat dan jisim sama seperti makhluk, menyesatkan pegangan ASWJ serta mendakwa akidah para ulama ASWJ seperti Imam Abu al-Hasan al-Ashaari, Imam al-Syahrastani dan Imam al-Ghazali mempunyai pegangan sama dengan akidah golongan Jahmiyyah yang sesat,”katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Nooh berkata, mana-mana individu hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan.
“Mereka juga dilarang berpegang padanya, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamal atau menjadi pengikut atau ejen.
“Mana-mana orang yang berpegang padanya, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut hendaklah bertaubat nasuha,”katanya.
Selain itu, beliau berkata umat Islam hendaklah berpegang kepada pegangan ASWJ dari aspek akidah berdasarkan manhaj Asyairah dan Maturidiah.
Dari segi syariah pula katanya, boleh berpandukan mazhab Shafie serta mazhab muktabar lain seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Beliau menambah, pihak berkuasa agama Islam negeri dan agensi berkaitan hendaklah mengambil tindakan menyekat ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem kerana ia mengancam akidah umat Islam, perpaduan dan keharmonian masyarakat. – https://amiminerals.org/