BANGKOK – Juara tujuh kali, Thailand mengesahkan tempat ke pentas final Piala ASEAN selepas mencatat kemenangan agregat 4-3 hasil kemenangan 3-1 ke atas Filipina pada separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala malam kelmarin.
Penyerang pinjaman kelab Belgium, OH Leuven, Suphanat Muenta muncul wira Gajah Perang apabila menanduk masuk gol ketiga juara bertahan itu dalam tambahan masa untuk menempah pertemuan dengan satu lagi gergasi Asia Tenggara, Vietnam di final.
Thailand yang sebelum ini dikejutkan kekalahan 1-2 kepada Filipina sewaktu separuh akhir pertama pada Jumaat lalu, memulakan aksi timbal balik dengan gol pertama menerusi Peeradon Chamratsamee pada minit ke-37.
Skuad bimbingan Masatada Ishii itu meledak gol kedua daripada Patrik Gustavsson (m-54) sebelum penyerang Filupina kelahiran Norway, Bjorn Kristensen mengikat kedudukan agregat 3-3 buat Filipina enam minit sebelum aksi tamat.
Impian Filipina untuk mara ke final pertama mereka dalam sejarah penganjuran Piala ASEAN tidak kesampaian apabila Suphanat menanduk masuk hantaran daripada Worachit Kanitsribampen untuk memastikan Thailand ke perlawanan akhir.
Penjaga gol Filipina, Quincy Kammeraad kecewa gagal menafikan gol kemenangan Thailand, sekali gus terpaksa akur sekali lagi terkandas di peringkat separuh akhir buat kali kelima.
“Ini satu lagi cabaran yang kami perlu pikul sebagai satu pasukan. Memang sedih tetapi kami perlu terus pandang ke hadapan dan pastikan pasukan ini lebih mantap pada masa depan,”katanya.
Thailand akan bertandang ke Stadium Viet Tri untuk final pertama malam esok sebelum menanti kunjungan Vietnam di Bangkok bagi final kedua pada 5 Januari ini. – AGENSI