KAJANG – Dua anggota yang ditahan berkaitan kes pemerasan wang di Jalan Taming Sari, di sini, berdepan tindakan digantung tugas.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perintah menggantung tugas kedua-dua anggota itu dianggap tindakan awal polis sebaik kes didakwa di mahkamah.
“Mengenai aspek tatatertib, siasatan sudah dimulakan sejurus menerima laporan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil selepas selesai siasatan tatatertib,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ditahan susulan video tular memaparkan kejadian pemerasan warga asing.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, kedua-dua suspek dituduh di Mahkamah Kajang pagi ini.-Iteenews.