KUALA LUMPUR, 27 Dis (Iteenews) — Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), melalui peruntukan awal RM1 bilion menerusi Dana Impak, hari ini mengumumkan dua pelaburan strategik untuk memacu pertumbuhan dan inovasi yang lebih besar dalam teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan pembangunan kapasiti di Malaysia, serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Khazanah mengumumkan pelaburan dalam Cambrian Fund, melambangkan kerjasama dengan pengasas bersama Vitrox Corporation Bhd, juara Malaysia dalam peralatan dan penyelesaian pemeriksaan penglihatan automatik, serta Southern Capital Group, sebuah firma ekuiti swasta serantau yang terkemuka dengan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Cambrian Fund ditubuhkan untuk menyokong usahawan dan PKS yang bertumpu kepada teknologi IR4.0 seperti penglihatan mesin, AI dan robotik.
Dana itu akan memainkan peranan dalam mentransformasikan ekosistem semikonduktor dan pengeluaran maju dalam dan luar Malaysia dengan membuka peluang pertumbuhan, menggalakkan penyertaan tempatan yang lebih besar dan menyokong usahawan dan PKS yang inovatif untuk berkembang dan bersaing di peringkat serantau.
Seiring dengan itu, matlamat dana tersebut adalah memanfaatkan pengalaman para pemimpin industri Malaysia melalui jalinan kerjasama untuk mendapatkan kepakaran, bimbingan dan akses kepada rangkaian untuk menyokong pelaburan Cambrian Fund.
Cambrian Fund telah mencatatkanpenutupan pertama sebanyak RM100 juta dengan Khazanah sebagai satu daripadapelabur utama.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia merupakan penggerak utama ekonomi negara, menyumbang 40 peratus kepada eksport negara pada 2023.
Beliau berkata dengan semikonduktor sebagai terasnya, Malaysia kini adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, menguasai 13 peratus daripada bahagian pasaran global untuk pembungkusan, pemasangan, dan ujian.
“Melalui pelaburan Dana Impak daripada Khazanah, Cambrian Fund selaras dengan usaha kerajaan dalam memupuk pertumbuhan yang lebih besar, inovasi, pembangunan bakat tempatan, dan integrasi ke dalam rantaian bekalan global, sambil memperkukuh hubungan pasaran antarabangsa dan mencipta peluang untuk syarikat Malaysia berkembang secara global,” katanya dalam kenyataan hari ini.