Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 25 Dis (Iteenews) — Koko dan lada meneruskan prestasi peningkatannya pada 2024, didorong oleh permintaan global yang ketara selain usaha kerajaan dalam melonjakkan pertumbuhan komoditi berkenaan.
Kedua-dua komoditi itu juga kekal sebagai penyumbang utama terhadap ekonomi Malaysia dengan mencatat peningkatan ketara dari segi nilai eksport pada tahun ini.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata eksport lada Malaysia misalnya mencecah RM86.4 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 berbanding RM80.2 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Dalam pada itu, Lembaga Koko Malaysia (LKM) pula berkata hasil eksport biji dan produk koko juga melonjak dan mencecah RM12.09 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, berbanding RM8.20 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Peningkatan itu didorong terutamanya oleh peningkatan output pengeluaran serta pengukuhan nilai ringgit pada 2024.
Lonjakan harga koko pada 2024
LKM berkata salah satu pemacu utama peningkatan prestasi pada 2024 itu adalah disebabkan oleh lonjakan harga biji koko dalam julat RM20,000 hingga RM27,000 satu tan – meningkat lebih dua kali ganda daripada purata harga RM10,000 satu tan pada tahun lepas.