Empat anjing pengesan jejaki warga emas hilang

IMG 20241217 WA0081

Khidmat anjing pengesan dari K9, IPK Negeri Sembilan turut digunakan dalam operasi SAR susulan seorang warga emas hilang di Batu 4, Kampung Air Melintang, Kota, di sini, petang semalam. – Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

REMBAU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang warga emas hilang di Batu 4, Kampung Air Melintang, Kota, di sini, petang semalam diteruskan pagi ini menggunakan khidmat empat ekor anjing pengesan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, Mohd Mahat Said, 78, merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dilaporkan hilang oleh anak perempuannya.

Menurutnya, pencarian dimulakan sejak pukul 5.30 petang semalam, namun terpaksa dihentikan lewat malam berikutan faktor keselamatan susulan kawasan sekitar mempunyai belukar yang tebal.

“Pagi ini, operasi SAR diteruskan dengan lebih 100 individu terdiri daripada 17 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 34 anggota bomba, tiga anggora Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan selebihnya penduduk kampung.

“Pencarian dimulakan dengan azan oleh penduduk kampung, selain khidmat empat anjing pengesan (K9) masing-masing dua ekor dari K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan K9, pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Shaik lagi, pencarian dilakukan di sekitar kawasan kebun dan belukar berhampiran kediamannya susulan pasukan SAR menemui kain pelikat dipercayai dipakai warga emas terbabit. – https://amiminerals.org/